BOUAKE, Ivory Coast – Jurulatih Cameroon, Rigobert Song membuat keputusan tepat menggugurkan penjaga gol Manchester United, Andre Onana dalam kesebelasan
utama ketika aksi terakhir Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Gambia di Stadium Bouake awal pagi semalam.
Tindakan berani diambil pengendali berusia 47 tahun itu menguntungkan The Indomitable Lions kerana berjaya menewaskan Gambia 3-2, sekali gus menyambar tiket ke pusingan 16 terbaik sebagai naib juara Kumpulan C di belakang juara bertahan, Senegal.
“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya saya perlu bertanggungjawab terhadap segala keputusan yang telah dibuat.
“Saya puji semua pemain kerana berjuang mati-matian untuk meraih kemenangan ini. Anda perlu akui hakikat ini bahawa kami akhirnya menang dan layak ke pusingan seterusnya,” kata Song.
Pengganti Onana iaitu Fabrice Ondoa melepaskan dua gol kepada Ablie Jallow dan Ebrima Colley pada minit ke-72 serta 85 untuk membolehkan Gambia mendahului 2-1, memadam jaringan awal Cameron menerusi Karl Toko Ekambi.
Bagaimanapun, Onana menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi apabila dia dilihat sentiasa memberikan semangat kepada penjaga gol kedua itu dan rakan sepasukan lain sepanjang aksi tersebut.
Hasilnya, bekas juara AFCON lima kali itu bangkit memenangi perlawanan dengan dua gol di penghujung perlawanan menerusi jaringan sendiri pemain Gambia, James Gomez dan Christopher Wooh pada minit ke-87 serta 90+1.
Tidak mustahil Onana akan kembali menggalas tugasnya sebagai pilihan utama apabila Cameroon turun menentang lawan sukar iaitu Nigeria pada pusingan 16 terbaik di Stadium Felix Houphouet Boigny, Abidjan awal pagi Ahad ini. – AGENSI