fbpx

Berkayak sambil lihat keindahan Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung berpeluang melihat keindahan alam semula jadi ketika melakukan aktiviti kayak bersama Kayak Nakawan Perlis.

PENGALAMAN menelusuri terusan berhadapan Banjaran Nakawan di Perlis dengan menggunakan kayak sememangnya menakjubkan.

Aktiviti dimulakan di kawasan Tebing Tinggi atau dikenali zon peradaban manusia yang masih riuh dengan kehadiran orang awam.

Laluan pertama yang perlu ditempuhi peserta kayak adalah terowong air terpanjang di Malaysia iaitu sejauh 765 meter.

Pada mulanya, perasaan misteri muncul di fikiran penulis saat memasuki terowong yang sunyi, gelap dan bergema dengan bunyi kocakan air.

Manakan tidak, penglihatan para peserta kayak terhad kepada beberapa meter di hadapan dengan dibantu oleh lampu di topi keledar.

Bagi memeriahkan suasana tersebut, pengusaha Kayak Nakawan Perlis, Aniq Izanif membuka lampu ‘disko’ sambil mendendangkan lagu buat para peserta.

Kini, terowong yang dipanggil sebagai time tunnel itu mula dihiasi dengan corak-corak lampu disko beserta nyanyian yang bergema sepanjang menelusuri terowong tersebut.

Corak-corak tersebut turut kelihatan pada air dalam terusan, sekali gus memberikan suasana seperti dalam filem animasi Disney.

Di penghujung terowong terlihat kehijauan hutan semula jadi di bahagian kiri dan kanan menyambut kehadiran peserta.

Menurut Aniq Izanif, kawasan tersebut dipanggil sebagai ‘Jurassic World’ sesuai dengan panoramanya yang padat dengan unsur semula jadi.

“Di ‘Jurassic World’ cuma ada satu sahaja rumah lama yang tidak berpenghuni, selebihnya adalah hutan.

PARA peserta kayak bergambar di depan Grand Canyon.

“Peserta kayak pasti akan tertawan dengan bunyi alam semula jadi seperti burung-burung dan monyet.

“Suasana ini membuatkan mereka berasa seperti memasuki alam berbeza berbanding kawasan sebelum-sebelumnya,” katanya kepada Horizon.

Setelah melalui kawasan hutan, peserta kayak akan melintasi gua bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun di kiri dan kanan.

Sekali pandang, belahan bukit batu kapur itu saling tidak tumpah seperti panorama di The Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat.

Justeru, kawasan tersebut dipanggil mini Grand Canyon dan peserta boleh berhenti dan mengambil foto kenang-kenangan.

Di kawasan sama, peserta akan dibawa naik ke darat dan menikmati makan tengah hari di Kampung Wai.

Bagi peserta yang mahu bermandi-manda, mereka boleh lakukan perkara tersebut sebelum perjalanan patah balik.

Aktiviti sejauh empat kilometer (km) itu meliputi pemandu, jaket keselamatan, sijil penyertaan, sarapan pagi serta makan tengah hari.

Selain itu, Kayak Nakawan Perlis turut menyediakan perkhidmatan kayak sejauh 8 kilometer bagi peserta berpengalaman bermula dari kawasan berhampiran Warung Tepi Sawah.

Tambah Aniq, tempahan perkhidmatan itu hanya boleh dilakukan menerusi atas talian dan tidak menerima permintaan walk in.

“Peserta boleh menempah dengan minimum enam orang dan maksimum sebanyak 40 orang.

“Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh dilakukan menerusi laman media sosial Kayak Nakawan Perlis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI