DOHA – Palestin melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan tiket ke peringkat 16 terbaik selepas menewaskan Hong Kong 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala Asia 2023 malam kelmarin.
Pada aksi di Stadium Abdullah bin Khalifa itu, Palestin melupakan seketika konflik peperangan di tanah air dengan meraih gol menerusi dua jaringan Oday Dabbagh dan satu daripada Zaid Qunbar untuk memastikan pasukan mengakhiri saingan di kedudukan ketiga.
Kapten Palestin, Musab Al-Battat percaya apa yang dipamerkan oleh barisan pemain seperti menunaikan janji buat rakyat negaranya yang kini mengharungi penderitaan kerana perang menentang rejim zionis Israel.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami yang hadir dalam stadium kali ini. Kami mahu menghadiahkan senyuman kepada mereka yang sentiasa mendoakan pasukan tidak kira dalam atau luar negara.
“Misi kami adalah jelas iaitu mahu dunia mengetahui kami bukan sahaja membawa nama Palestin semata-mata, sebaliknya membuktikan bahawa penduduk di sana juga memiliki bakat hebat dalam bola sepak,” katanya.
Sementara itu, pengendali Palestin, Makram Daboub mengakui, barisan pemain kini boleh beraksi tanpa sebarang tekanan sekiranya berdepan dengan pasukan yang lebih baik di pusingan kalah mati nanti.
“Ini adalah perlawanan hidup mati dan kita berjaya menang dengan bergaya. Fokus seterusnya adalah aksi di pusingan kedua dan saya percaya dalam bola sepak tiada apa yang mustahil meskipun kami digelar underdog pada kempen kali ini,” katanya. – AGENSI