PORT DICKSON – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang diboncengnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Fortuner dalam kemalangan berhampiran Pusat Latihan Tentera Darat (Pusasda) dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian pukul 4.43 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Noorfirhad Sainy yang berusia 29 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.43 petang tadi dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Tindakan pantas kami untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dibawah kereta menggunakan ‘rescue tools’ dan mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya hari ini.
Ujarnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis yang kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk urusan selanjutnya. – K! ONLINE.