SHAH ALAM – Pihak pendakwaan dalam kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhujah, Hakim Mahkamah Sesyen adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan kes jenayah.
Melalui afidavit jawapan terhadap permohonan Muhammad Sanusi, 50, untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini, pihak pendakwaan berkata kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti yang didakwa oleh pihak pemohon.
“Seperti kes yang dituduhkan terhadap pemohon di bawah akta 15, ia bukanlah dalam kepentingan keadilan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Lebih-lebih lagi kes telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen,” kata pihak pendakwaan dalam afidavit jawapan dalam membantah permohonan Muhammad Sanusi.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac.
Sementara itu, dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin hari ini, mahkamah menetapkan 1 Februari ini bagi pendengaran permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri bagi memindah dua pertuduhan yang dihadapinya ke mahkamah itu.
Hakim Aslam juga memerintah Muhammad Sanusi perlu membalas afidavit yang dikemukan pendakwaan pada atau sebelum 29 Januari ini.
Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Menteri Besar Kedah itu memohon mahkamah agar diberi masa 14 hari bagi menjawab afidavit yang dikemukan pendawaan.
“Kami telah menerima affidavit jawapan daripada pihak pendakwaan menerusi e-mel semalam. Justeru itu, kami mohon mahkamah memberi masa 14 hari untuk kami membalas affidavit tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd. Daud membantah permohonan itu dan menyatakan masa yang ada mencukupi untuk menjawab affidavit tersebut dan tiada sebab untuk melengah-lengahkan lagi prosiding.
Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE