fbpx

Lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA membantu mengangkat mangsa yang lemas selepas terjatuh ke dalam Tasik Temenggor, Banding di Gerik semalam. - IHSAN JBPM

GERIK – Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari bot ketika sedang menambat tali sauh rumah bot di Tasik Temenggor, Banding di sini semalam.

Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, yang juga anak kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu dijumpai kira-kira pukul 11.18 malam, pada jarak 10 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Ketua BBP Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 6.20 petang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dijalankan dengan mengikut arus dan di permukaan sungai melibatkan pelbagai agensi dan orang awam.

“Mangsa bagaimanapun telah dijumpai oleh adiknya serta rakan yang membuat carian menggunakan bot persendirian serta menjalankan casting pancing pada permukaan tasik.

“Pencarian yang turut dipantau anggota bomba bagi tujuan keselamatan itu telah menemukan mangsa apabila tersangkut pada pancing seterusnya dibawa naik ke atas bot,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) berhampiran Jeti Trojan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi pencarian mangsa disertai 31 anggota termasuk polis, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan orang awam.

“Operasi yang menggunakan tujuh buah bot dari bomba, polis dan orang awam itu tamat pada pukul 12.30 tengah malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI