BATU PAHAT – Kakak Bella mengucapkan selamat tinggal buat adik tersayangnya, Mira Sharmila Samsusah, 32, yang disahkan mati dibunuh susulan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui di Tongkang Pechah, Batu Pahat sah milik ibu tunggal itu.
Norisham, 36, menzahirkan rasa sedih itu menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya selepas dimaklumkan pihak polis berhubung keputusan DNA hari ini.
“Dukacita saya maklumkan ujian DNA mengesahkan rangka itu milik Bella, berat dugaan kami sekeluarga. Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat kau, aku akan tuntut keadilan atas permergian kau ini. Mohon semua kenalan, kawan-kawan dan semua warga Batu Pahat menyertai solat buat kali terakhir untuk Bella,” tulisnya.
Norhisham turut menyatakan jenazah akan dituntut di Hospital Sultan Ismail (HSA) Johor Bahru pagi esok sebelum dibawa pulang ke Batu Pahat untuk disembahyangkan di Masjid Datuk Bentara, Batu Pahat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang. – KOSMO! ONLINE