fbpx

Konflik Palestin-Israel: 11,000 kanak-kanak Gaza terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk melarikan diri dari bandar Khan Yunis menuju ke Rafah di tengah-tengah serangan Israel semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Seramai 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita terkorban sepanjang 108 hari askar Israel menyerang Semenanjung Gaza, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Media Hamas, 7,000 orang dengan 70 peratus daripadanya ialah kanak-kanak dan wanita terperangkap di bawah serpihan atau hilang akibat serangan tentera Rejim Zionis.

Jumlah mayat yang dihantar ke hospital melebihi 25,900, manakala seramai 63,000 penduduk cedera sejak Israel memulakan kempen pengeboman tanpa henti di wilayah Palestin itu.

Selain itu, kira-kira 70,000 rumah musnah sepenuhnya, manakala 290,000 lagi tidak dapat didiami.

Mengenai kesan serangan ke atas sektor penjagaan kesihatan, seramai 337 pekerja kesihatan dan 45 pegawai pertahanan awam terbunuh setakat ini.

Dalam pada itu, 199 wartawan maut ketika membuat liputan perang tersebut. Tentera Israel juga menahan seramai 99 kakitangan kesihatan dan 10 wartawan.

Dengan kesesakan di pusat perlindungan, sebanyak 400,000 kes penyakit berjangkit dan lebih 8,000 kes Hepatitis A dikesan susulan kempen pemindahan secara paksa oleh Zionis.

Kira-kira 60,000 wanita hamil berdepan pelbagai risiko akibat kesukaran mendapatkan penjagaan kesihatan, manakala 350,000 pesakit kronik berdepan kekurangan ubat.

Tentera Israel juga menyasarkan serangan terhadap 150 institusi penjagaan kesihatan, menyebabkan 53 pusat kesihatan dan 30 hospital tidak beroperasi serta mengakibatkan 122 ambulans tidak dapat digunakan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI