fbpx

[VIDEO] ‘Abang lah hero sebenar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh anggota bomba di akaun TikTok memaparkan Shazaril membantu mengosongkan jalan bagi memberi laluan jentera, awal pagi semalam.

PETALING JAYA – Kebaikan seorang lelaki yang bertindak membantu pihak bomba untuk mengosongkan jalan raya menyentuh hati ramai pengguna media sosial sehingga tular sejak semalam.

Shazaril Hassan, 34, tidak menyangka bantuan yang diberikan seikhlas hati itu dirakam dan dimuat naik oleh anggota bomba sehingga mendapat lebih 1.7 juta tontonan.

Ujarnya yang bekerja sebagai penjawat awam, ketika kejadian kira-kira pukul 7.03 pagi, dia sedang dalam perjalanan ke pejabat yang terletak di Putrajaya.

Pada kebiasaannya, Shazaril berkata, dia akan melalui lebuh raya untuk ke tempat kerja namun pada hari tersebut hatinya terdetik untuk melalui Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis itu.

“Saya selalu ikut lebuh raya sebab jalan dalam tu terlampau banyak lori jadi agak bahaya. Tapi pada hari kejadian, hati saya terdetik nak ikut jalan tu. Memang hari biasa jalan tu sesak, tapi pagi semalam sesaknya lain dari yang lain.

“Rupa-rupanya ketika itu berlakunya kemalangan sampai saya pun tak lepas nak lalu. Kemudian saya tengok ada sebuah jentera bomba pun tersekat dan tak boleh lalu sebab ada sebuah lori di depannya.

“Jadi saya bertindak turun dari motosikal dan minta semua kenderaan bergerak sedikit ke tepi jalan untuk membolehkan jentera bomba lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Di dalam video yang tular itu, kelihatan Shazaril bersungguh-sungguh meminta semua kenderaan memberikan kerjasama bagi membolehkan jentera bomba sampai ke tempat kejadian kemalangan.

Susulan itu, tindakannya itu mendapat pujian melambung bukan sahaja daripada ramai pengguna media sosial malah turut meraih penghargaan pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan Sepang juga.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata ini, dia tidak mengharap pujian atas tindakan murninya itu malah berhasrat agar pertolongannya itu memberi contoh terbaik kepada orang ramai.

“Dalam kejadian semalam tu, tak semua orang akan terbuka untuk bantu, jadi bila saya lihat, saya tak fikir panjang memang terus bantu. Sebab kemalangan tu pun melibatkan nyawa orang.

“Alhamdulillah semua kenderaan beri kerjasama dengan sangat baik. Masa yang diambil untuk minta semua kenderaan ke tepi jalan lebih kurang tiga minit sahaja sebelum bomba boleh dapat lalu.

“Moga selepas ini akan ramai membantu mereka yang sedang berada dalam kecemasan. Kalau susah ke jatuh ke, kita tolong semua,” ujarnya.

Dalam kemalangan di Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis, Banting, pagi semalam, dua sekeluarga dilaporkan maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.

Mangsa yang maut adalah seorang wanita berusia 40-an serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun manakala mangsa yang selamat adalah wanita berusia 20-an. – KOSMO! ONLINE

@eklinamit_ Semoga abg diberikan kesihatan yang baik.dimurahkan rezeki atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan.hanya tuhan yang mampu membalas jasabaik kamu 🫡🫡🫡.#abgbomba #fyp #kemalanganjalanraya #abgmotorviral ♬ original sound – musik lite

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI