PETALING JAYA – Rentetan daripada usaha murninya tidak mengenal penat lelah membantu rakyat yang terkesan terutama akibat pandemik Covid-19, kini popular dalam laman sosial tanda pagar, #EbitLewForPM.
Menjawab persoalan tersebut kepada Kosmo! Online menerusi sidang akhbar secara maya program Jejak Ebit Lew tadi, pendakwah bebas, Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 35, berkata, dia tidak berminat dengan bidang politik.
“Politik memang bukan bidang saya. Saya memang bukan orangnya dan terus terang, saya tidak pandai dan mengerti soal politik.
“Sekarang, saya lebih berminat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Insya-Allah, saya akan terus begini dan niat saya sampai bila-bila pun begini,” katanya.
Ujar Ebit lagi, dia sentiasa berdoa agar diberikan rezeki supaya dapat memberi lebih banyak bantuan kepada orang ramai sehingga tiada apa pun yang tercicir.
“Saya berdoa agar suatu hari nanti mudah-mudahan Allah berikan saya rezeki yang lebih supaya saya dapat bantu lebih ramai orang hingga tiada seorang yang tercicir.
“Sekarang, saya kecewakan ramai orang. Ada yang marah saya dalam media sosial tetapi saya tak kecil hati langsung.
“Saya ada block (sekat) akaun pengguna media sebab takut kena hentam oleh pengikut saya. Saya tak sampai hati mereka kena marah dengan ‘followers’ jadi saya block tetapi mereka masih boleh tengok hantaran saya dalam Instagram.
“Saya sedar ramai terdesak dan sangat memerlukan ketika pandemik ini. Mereka kecewa dan tak tahu apa nak buat. Sama-sama kita bantu semampu boleh,” katanya.
Terdahulu, Ebit mencuri hati rakyat Malaysia apabila tanpa hanti-henti membantu masyarakat yang dalam kesusahan, termasuklah banjir, masalah air dan akibat pandemik Covid-19.
Antara usaha murninya termasuk menghantar 10 tan bantuan keperluan asas ke Sabah dan membeli dua lori air bersaiz besar untuk membantu penduduk di Selangor yang mengalami gangguan bekalan air pada musim pandemik.
Jejak Ebit Lew akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go. – K! ONLINE