BATU PAHAT – Menanti satu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap rangka manusia yang ditemui di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini yang akan menentukan samada kehilangan atau masih ada harapan terhadap nasib Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella amat menyiksakan kakaknya Norhisham, 36.
Keadaan itu turut ditanggung oleh ibunya, Noraini Salleh serta dua orang anaknya Eusuf, 4, dan Maream,1, yang masih dahagakan belaian kasih seorang wanita bergelar ibu.
Dalam pada itu, Norhisham atau dikenali sebagai Ayu tetap berharap rangka manusia tidak sempurna yang ditemukan di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah Jumaat lalu itu bukan adik kesayangannya.
“Selepas menanti lebih sebulan kehilangan adik, mana mungkin kami dapat menerima satu berita sedih walaupun menyedari ia adalah ketentuan dan takdir Allah.
“Sebolehnya biarlah keputusan DNA itu nanti memperkatakan bahawa itu bukan Bella dan orang lain yang mungkin sebagai pengganti,” katanya.
Ujarnya, sekiranya benar rangka manusia itu adalah Bella, biarlah mahkamah yang memutuskan hukuman namun berharap ia setimpal dengan apa yang dilakukan oleh pelaku.
“Sama-sama kita berdoa agar kami dapat mengharungi dugaan berat ini dan pengakhirannya nanti berpihak kepada Bella,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, sehingga tengah hari ini pihaknya belum menerima apa-apa keputusan berkaitan DNA rangka manusia itu.
“Esok, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain akan berada di Ibu Pejabat Kontinjen Johor sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor yang baharu.
“Mungkin ada sesuatu yang besar akan disampaikan ketika sidang akhbar diadakan, bagaimana pun, jika ada perkembangan terbaru akan dimaklumkan kepada semua hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE