fbpx

Piala Asia: Indonesia, Jepun galas misi ‘hidup mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUBNER (kanan) dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk turun menghadapi Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Al Thumama malam ini. – AFP

DOHA – Indonesia berusaha melunaskan misi luar biasa dengan mencuri mata berharga bertemu negara pilihan, Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan D saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Thumama malam ini.

Pemain pertahanan Sang Garuda, Justin Hubner, 21, me­ngakui, suasana dalam latihan ketika ini cukup kompetitif dengan barisan pemain begitu bersemangat untuk memastikan impian lolos ke pusingan kalah mati dapat direalisasikan.

Kata Hubner, kedudukan ranking tidak boleh dijadikan ukuran meskipun Samurai Biru memiliki ramai pemain berkelas dunia yang boleh memberi kesukaran buat Indonesia.

“Kami sedang bersiap untuk menghadapi aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Jepun. Semua pemain sedia untuk memberikan seratus peratus di atas padang bagi mencuri mata berharga.

“Kami sudah se­belah kaki untuk mencapai sasaran mara ke pusingan kalah mati, namun Jepun juga terdesak untuk memburu kemenangan dan saya harap kami dapat berikan sepenuhnya di atas padang,” kata pemain Wolverhampton ­Wanderers itu.

ASANO mengakui dia dan rakan-rakannya tidak boleh memandang rendah kemampuan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Thumama malam ini. – AFP

Sementara itu, penyerang sensasi Jepun, Takuma Asano menyeru rakan-rakan sepasukannya untuk tampil lebih serius selain menganggap aksi menentang Indonesia malam ini sebagai pentas final.

“Kita tiada pilihan lain selain daripada menang perlawanan bertemu Indonesia nanti. Kita tidak boleh ambil risiko tersingkir awal daripada pentas Piala Asia kerana ia bakal menjadi sesuatu yang memalukan.

“Justeru, saya harap semua pemain dapat tampil lebih serius dan mempamerkan corak permainan sebenar pasukan seperti yang telah ditampilkan sepanjang tahun lalu.

“Mungkin ketua jurulatih sudah ada perancangan tersendiri mengenai formasi atau taktikal pasukan. Apa yang pasti, ini adalah aksi terakhir kumpulan yang boleh dianggap sebagai final buat kami,” kata bekas penyerang ­Arsenal itu.

Sementara itu, Jepun difahamkan masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat pemain sayap lincah Brighton, Kaoru Mitoma kerana belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan dialami sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI