fbpx

Kedah ke suku akhir Piala Emas Khir Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN Kedah (tengah) melakukan libasan ketika menentang Sarawak pada saingan Piala Emas Khir Johari di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini. - SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kedah menepati status selaku tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari apabila mengesahkan tempat ke suku setelah mencatat dua kemenangan.

Ia hasil kejayaan Kedah mengutip enam mata apabila menewaskan Sarawak 2-1 dan Pahang 3-0 hari ini walaupun masih berbaki satu perlawanan Kumpulan B menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok. 

Ketika menentang Sarawak, Kedah menurunkan Muhammad Hairee, Mohammad Norfaiz Ridhwan dan Danial Asyraf selaku regu A mudah menewaskan lawan dengan kemenangan 21-10, 21-14. 

Bagaimanapun, regu B yang dibarisi pemain bawah 21 tahun (B21) tewas 15-21, 16-21 pada set kedua dan ketiga walaupun memenangi set pertama dengan kiraan 21-17.

Kedudukan 1-1 memaksa regu C diwakili Mohamad Firdaus Hamid, Muhd. Firdaus Mohammad dan Muhammad Syazwan bekerja keras sebelum menang  21-19, 24-22.

Pengurus Sepak Takraw Kedah, Mohd. Nasher Ahmad berkata, mereka sudah melepasi sasaran pertama diletakkan kerajaan negeri agar layak ke peringkat suku akhir kejohanan.

“Saya nampak keupayaan dan kesungguhan pemain untuk ke pusingan seterusnya sebab sudah lama Kedah tak ke suku akhir. Ini menjadi titik awal kita sahut cabaran EXCO Sukan Kedah untuk kembali ke landasan.

“Saya akui suku akhir akan lebih sengit kerana bermain dua regu sahaja yang bermakna kalau kalah 0-2, regu C tidak bermain, jadi bergantung kepada jurulatih untuk susun strategi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini.

Selain Kedah, ATM juga sudah layak ke suku akhir apabila menang dua perlawanan mereka menumpaskan Pahang 2-1 dan Sarawak 3-0.

Mengulas aksi penentuan juara Kumpulan B melibatkan Kedah dan ATM, Mohd. Nasher berkata, mereka berazam untuk memberikan tentangan kepada lawan yang diakui lebih berpengalaman.

“Prestasi pemain semalam dan hari ini ada peningkatan, jadi pada suku akhir nanti saya harap mereka dapat tunjuk komitmen yang lebih tinggi.

“Kita akan bagi saingan kerana berhasrat untuk menjadi johan kumpulan agar apabila melangkah ke peringkat seterusnya akan meyakinkan pemain dan penyokong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI