KUALA LUMPUR – Taktik segelintir gelandangan warga asing menjadikan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini sebagai lokasi penginapan digempur Jabatan Imigresen (JIM), malam tadi.
JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, Op Kutip tersebut dilakukan susulan risikan dijalankan selama seminggu dan maklumat orang awam.
Jelasnya, operasi pukul 12 tengah malam itu mendapati lokasi tersebut merupakan ‘hotspot’ gelandangan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Seramai 30 PATI berjaya ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (14), Indonesia (5), India (5), Pakistan (3), Nepal (2) dan seorang Myanmar.
“Tindakan diambil ekoran hasil daripada laporan orang awam dan risikan dari pegawai bahagian operasi selama seminggu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Jelas kenyataan itu, kesemua mereka disiasat atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE.