KOTA BHARU – Kerajaan negeri belum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Kelantan akan dilanjutkan atau ditamatkan pada 6 Disember ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu bakal dilakukan dalam masa terdekat bergantung kepada penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini.
“Dalam dua tiga hari ini, kes Covid-19 di Kelantan turun dan naik dan keadaan belum stabil. Sambung atau tidak PKPB, bergantung kepada perkembangan dalam tempoh terdekat. Jadi, kita minta rakyat disiplinkan diri supaya angka positif Covid-19 tidak meningkat.
“Sekiranya meningkat, maka kerajaan tidak ada pilihan lain, kecuali melanjutkan PKPB,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Kes positif Covid-19 di Kelantan meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini dengan empat kluster telah dikenal pasti iaitu Kluster Kube, Kluter Mengketil, Kluster Cengal dan Kluster Hilir.
Susulan peningkatan kes tersebut, kerajaan menguatkuasakan PKPB di seluruh negeri ini bermula 21 November lalu hingga 6 Disember ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, antara usaha kerajaan negeri bagi mengelak penularan pandemik tersebut adalah melakukan penguatkuasaan lebih tegas terhadap tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat.
“Sebab itu kita keluarkan arahan untuk menutup kedai pada pukul 10 malam. Memang ramai yang terkesan, namun kita harap para peniaga dapat bersabar,” katanya. – K! ONLINE.