KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu urusan perkhidmatan mencari rumah sewa dengan mengenakan bayaran sebanyak RM520 kepada seorang wanita, empat bulan lalu.
Tertuduh, Shaffiyah Virdanie Syamsul Amizan, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sementara menunggu laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan wanita itu masih di bawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Shaffiyah Virdanie didakwa bersetuju menerima bayaran sebanyak RM520 melalui sebuah akaun bank tanpa mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat membekalkan perkhidmatan rumah sewa kepada seorang wanita.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini pada 14 dan 15 September tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Shafiq Mahadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Februari depan untuk prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE