fbpx

[VIDEO] Abang Kopi Dukung tak malu, gagahkan diri pikul tong 20kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap hari Mohamad Norazlan akan berjalan sepanjang Pantai Seberang Takir hingga ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu untuk menjual kopi dukungnya.

PETALING JAYA – Meskipun sudah membanting tulang bekerja 11 jam sehari, seorang pembantu kedai tetap gigih mencari rezeki lebih dengan menggalas ‘kopi dukung’ di belakangnya untuk dijual di sekitar Kuala Terengganu, pada setiap hari.

Bukan sahaja tidak malu, malah Mohamad Norazlan Anuar, 32, tetap kuat memikul tong berisi kopi panas seberat 20 kilogram sambil berjalan sepanjang Pantai Seberang Takir hingga ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Dengan menjual dengan harga RM2 secawan, Mohamad Norazlan dapat menjual sehingga 50 cawan kopi panas sehari jika cuaca dalam keadaan baik dan ramai pelanggan yang membeli.

Ujar anak kelahiran Pahang ini, ‘kopi dukung’ yang dibancuh istimewa oleh isterinya mula diusahakan sejak Oktober tahun lalu setelah mendapat inspirasi daripada sebuah video dari luar negara.

“Idea nak jual ‘kopi dukung’ ni datang dari awal tahun lepas, tetapi banyak halangannya sebab barang-barang yang orang luar negara guna tak ada dekat sini.

“Kebetulan saya nampak ada orang jual tepi jalan guna balang air panas, jadi atas insiatif sendiri saya ubah supaya saya boleh ‘dukung’ tong tu dan bawa kemana-kemana.

“Saya nak ‘pacak’ khemah berniaga macam orang lain tak boleh sebab ada kerja hakiki. Jadi tercetuslah ‘style’ menjual ‘kopi dukung’ ni sambil bergerak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Mohamad Norazlan, dia tidak menyangka boleh tular di TikTok apabila ada pelanggan yang memuat naik gambar video dan gambar ketika dia sedang menjual.

“Awal-awal berniaga pernah ‘viral’ tapi sekarang lagi hebat ‘viral’ dia sampai ramai orang mesej saya nak infaq. Kalau hari minggu, saya gagahkan diri juga patah balik rumah, ambil tong kedua sampai boleh jual 100 cawan sehari.

“Tetapi ada hari memang tak larat sebab saya dah kerja sepanjang hari, rasa tenaga tu dah habis ketika bekerja. Nak pikul tu memang berat, ada masa tak larat,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut menitipkan pesanan buat golongan muda untuk kerahkan tenaga selagi masih mampu dan larat untuk mencari rezeki yang halal.

Katanya yang mula berhijrah ke negeri Darul Iman pada empat tahun lalu, dia tetap kuat mencari rezeki kerana gaji yang diperolehi hanya cukup untuk barangan keperluan harian tidak termasuk perbelanjaan lain-lain.

“Ikutkan gaji saya cukup anak beranak makan. Tapi bila hari cuti tu mesti saya nak bawa isteri saya dan anak-anak jalan-jalan. Tambah pula saya merantau negeri orang.

“Kadang-kadang duit gaji tak lepas untuk saya balik kampung atau pun kalau balik, lepas tu mesti akan ikat perut. Tahun ni pula anak-anak akan masuk sekolah. Jadi memang perlukan pendapatan lebih.

“Selagi muda, kerahlah tenaga tu. Macam saya umur 30-an pun dah rasa kurang tenaga berbanding dulu. Selagi ada tenaga kerah jelah, bila dah tua takkan nak masih bekerja kuat kan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

@adamjej32jadi molek air kopi adik ni.. tahun2024 semua boleh jadi duit.. jnji rajin usaha.

♬ suara asli – ᴠɪɴ ᴢʜᴇɪ

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI