SHAH ALAM – Restoran Taste of Pakistan di Setia Alam di sini menawarkan makanan percuma kepada golongan kurang berkemampuan bagi membantu mereka sepanjang pandemik Covid-19.
Pemiliknya, Faisol Munjir, 41, berkata, pendekatan tersebut telah dilakukan pihaknya sejak Oktober lalu dengan menikmati sajian makanan seperti nasi beriyani, nasi Arab, roti nan cheese dan teh masala.
Katanya, restoran tersebut memulakan operasi sejak April lalu dengan waktu perniagaan bermula pukul 10 pagi hingga pukul 11 malam.
“Pemberian makanan percuma ini adalah konsep sedekah kami dan pelanggan kurang berkemampuan tidak perlu malu untuk menikmati makanan di restoran ini.
“Mereka hanya perlu memaklumkan kepada pekerja kami termasuk juruwang restoran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Inisiatif restoran makanan tersebut tular di media sosial dengan memaparkan notis ‘Sesiapa yang tidak berkemampuan, boleh makan di restoran kami, makanan Fi Sabilillah’.
Usaha murni itu menerima reaksi positif netizen yang menyifatkan restoran berkenaan mengutamakan saham akhirat iaitu pahala sebagai ganti kepada mata wang dunia.
Faisol yang merupakan penyakit leukimia itu memaklumkan konsep fisabillah itu diambil menerusi kedai Fi Sabilillah yang ada di Makkah.
“Sewaktu mengetuai sebuah agensi pelancongan sebelum ini, saya mendapati wujud banyak kedai di kota suci itu yang menggunakan konsep restoran percuma tersebut.
“Jadi, amat bertepatan konsep itu dilaksanakan sekarang memadangkan ramai tertekan akibat kewangan ketika pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai faktor kerugian terutama pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Qiraat Shoubra di Universiti Al-Azhar, Mesir mengakui berlaku sedikit penurunan hasil pendapatannya.
“Bagi saya, apa yang penting adalah keikhlasan dan Allah sentiasa ada untuk memberi rezeki kepada kita,” jelasnya. -K! ONLINE.