fbpx

Menyamar polis sebelum menyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Taktik dua lelaki yang menyamar polis sebelum memeras ugut dan menyamun warga asing sejak sebulan lalu berakhir selepas dicekup baru-baru ini.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 39 tahun dilakukan di Pandamaran dan Pelabuhan Klang bermula pukul 9 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Pakistan yang disamun wang tunai RM50 dan sebuah telefon bimbit oleh tiga lelaki menggunakan dua buah motosikal di Jalan Langat di sini, Ahad lalu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki tersebut telah menyamar sebagai anggota polis dan bersenjatakan objek menyerupai pistol dan gari.

“Bertindak atas maklumat, seorang suspek berjaya ditahan pukul 9 malam kelmarin di Pandamaran sebelum rakan suspek diberkas pukul 12.50 hari keesokan harinya.

“Polis juga berjaya merampas beberapa barangan termasuk serangkai kunci dan motosikal jenis Honda Wave dan objek menyerupai pistol daripada salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, soal-siasat mendapati mereka mengaku melakukan perbuatan samun terhadap warga Pakistan tersebut bersama seorang lagi rakan mereka dikenali Siva Botak yang masih bebas.

Shamsul Amar menegaskan, semakan rekod mendapati salah seorang daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Modus operandi suspek adalah menyasarkan warga asing dan aktif sejak sebulan lalu.

“Kedua-dua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI