fbpx

Fahmi umum pakej internet khas untuk penunggang p-hailing esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (kanan) bakal mengumumkan pakej internet istimewa bagi penunggang p-hailing, esok.

PETALING JAYA – Syarikat telekomunikasi bakal menawarkan pakej internet khas dengan diskaun istimewa untuk semua penunggang p-hailing di negara ini.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam sebuah kenyataan di laman Facebook, pengumuman tentang pakej tersebut bakal dilakukan pada 23 Januari, esok.

“Hari ni sebelum saya ke pejabat di Lembah Pantai, saya terserempak dengan seorang penunggang p-hailing. Sempat juga meluangkan sedikit masa untuk berbual dan mendengar luahannya.

“Ceritanya kepada saya, beliau seorang ayah kepada dua orang anak yang masih kecil. Pendapatannya kira-kira RM4,000 sebulan dan isterinya pula tidak bekerja.

“Jumlah itu memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Susu dan lampin bayi pun dah mahal, kadang-kadang kena tanggung kos perubatan ahli keluarga, simpanan memang tak ada langsung,” katanya.

Menurut Fahmi, penunggang p-hailing tersebut mempunyai tunggakan bil telefon selama dua bulan dan terpaksa meminjam duit daripada rakannya untuk melunaskan bil tersebut.

“Sebagai seorang ayah, saya cukup faham akan cabaran yang dihadapinya. Sedar tak sedar dah bersembang hampir 40 minit, tercetus idea untuk melakukan sesuatu bagi membantu komuniti riders kita,” katanya.

Fahmi berkata, beliau telah berjumpa dengan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi dan mencadangkan agar mewujudkan pakej internet khas, khusus buat para penunggang p-hailing.

“Kerajaan memahami kesusahan abang-abang riders kita yang bertungkus lumus menghantar makanan dan bungkusan untuk semua, lebih-lebih lagi di bawah terik matahari dan hujan lebat.

“Ini adalah satu kemenangan kecil buat semua pekerja dalam industri p-hailing,” ujarnya.

Fahmi berkata, usaha kecil daripada Kerajaan Madani ini diharap dapat meringankan kesulitan dan membantu penunggang p-hailing dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Terima kasih riders kerana telah berkhidmat untuk kami semua selama ini.

“Kerajaan Madani mendengar keluhan anda dan kami harap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan kesulitan dan membantu anda dalam menjalankan tugas setiap hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI