KLANG – Empat remaja warga Myanmar dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa kilang kitar semula sejak enam bulan lalu berjaya diselamatkan polis di sekitar Telok Gong di sini, hari ini.
Mereka termasuk tiga perempuan berusia 14 hingga 16 tahun itu diselamatkan dalam OP Khas Aman bermula pukul 2 petang yang dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain.
Serbuan lebih dua jam melibatkan tiga premis haram secara serentak turut membawa kepada penahanan lebih 100 warga asing yang bekerja di premis-premis tersebut.
Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Asisten Komisioner Hazril Kamis berkata, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan itu melibatkan warga Indonesia dan Myanmar.
“Mereka yang berusia 20 hingga 40an itu menerima gaji oleh majikan di tiga kilang tersebut yang didapati beroperasi secara haram.
“Namun, empat remaja dipercayai telah dieksplotasi sebagai buruh paksa dan mereka sememangnya tidak boleh bekerja dalam mana-mana sektor perkilangan,” katanya ketika ditemui pada operasi itu, petang ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa pekerja asing itu turut cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam semak berdekatan premis itu namun berjaya dicekup anggota polis.
Menurut Hazril, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Akta Atipsom 2007.
Selain itu, kompaun terhadap pemilik kilang berkenaan turut dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kesemua warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (Klang bagi tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE.