KUALA LUMPUR – Lima kakitangan Kementerian Kewangan didenda antara RM1,500 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kelima-limanya merupakan individu pertama yang dipertuduhkan atas kesalahan itu di Malaysia.
Hakim Manira Mohd. Noor menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tiga tertuduh iaitu Nurul Ashikin Zulkaflee, 33, Azad Fadhmi Abdul Rahman ,34, dan Madiyana Mamat, 39, serta RM2,000 terhadap dua lagi iaitu Siti Nurkhairunnisa Adnan, 32 dan Mohd. Fairus Hussin, 38. selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan kesemuanya membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah ditawarkan wang suapan antara RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan Proses Permohonan Baharu dan taraf Bumiputera beberapa syarikat melalui sistem e-Perolehan yang mana mereka telah melanggar peruntukkan akta SPRM 2009(akta 694) untuk menggalakkan integriti dan pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.
Ketika kejadian Nurul Asyikin bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) manakala Siti Nurkhairunnisa, Madiyana dan Azad Fadhmi sebagai Penolong Akauntan selain Mohd. Fairus sebagai Penolong Pegawai Tadbir Gred di Unit Pendaftaran Syarikat Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya antara Mei 2018 hingga Jun 2020.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Sprm 2009 (akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin dan R.Francine Cheryl kes berkata kes yang didakwa, terhadap kesemua tertuduh merupakan pertama di Malaysia.
“SPRM tidak boleh bergerak sendirian tanpa bantuan masyarakat untuk melaporkan kes rasuah. Sepatutnya, apabila ditawarkan wang rasuah, mereka melaporkannya tetapi kesemua gagal berbuat demikian,” katanya.
Bagaimanapun peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhamad Aizat Fakri memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum tanpa hukuman penjara terhadap kesemua tertuduh kerana dikhuatiri menyebabkan mereka hilang pekerjaan.
“Kesemua anak guam saya mempunyai tanggungan keluarga dan mereka telah insaf tidak mengulangi kesalahan sama selain berjanji akan bertindak melapor berhubung kesalahan penawaran rasuah kepada pihak berkuasa selepas ini,” kata Muhamad Aizat.- K! ONLINE