NAMA Agastya Nanda hanya menyerlah selepas muncul dalam naskhah The Archies bergandingan dengan anak Shah Rukh Khan, Suhana Khan.
Bergelar cucu kepada bintang legenda Amitabh Bachchan, hakikatnya ramai yang tidak mengenali Agastya.
Menurut aktor berusia 23 tahun itu, tinggal berjauhan di Delhi, sementara datuk dan neneknya berada di Mumbai membuatkan privasinya terjaga.
“Saya pernah disangka budak penghantar ketika mula-mula datang ke pejabat syarikat produksi di Mumbai untuk berbincang dengan penerbit.
“Saya juga terdengar seseorang menyebut nama Agatsya dan menunggu bintang kesayangannya itu sedangkan saya duduk di depannya,” kongsi putera kepada anak sulung Amitabh, Shweta itu.
Agastya sebenarnya hanya mengetahui datuknya seorang bintang tersohor ketika di sekolah rendah apabila lelaki itu mendapat sorakan ketika mengambilnya di sekolah.