SELEPAS gagal melayakan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, skuad hoki lelaki negara perlu menekan butang ‘reset’ terutama untuk membentuk semula pasukan yang lebih baik bagi menghadapi kelayakan Olimpik seterusnya di Los Angeles 2028 dan juga Brisbane 2032.
Pada aksi kelayakan Olimpik di Oman, Speedy Tigers hanya mampu berada di kedudukan kelima keseluruhan selepas menumbangkan Kanada 3-1 dalam penentuan shoot-out selepas terikat tanpa jaringan ketika menentang pasukan ranking ke-18 dunia itu.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj dilihat telah merumuskan antara elemen yang perlu ditambah baik adalah tahap kecergasan untuk meningkatkan prestasi skuad negara.
“Ini pandangan peribadi saya dari segi hoki, kejurulatihan dan juga pasukan. Di kejohanan ini, apabila tengok statistik kita, ‘circle entry’, peluang yang dicipta semuanya lebih tinggi berbanding pasukan lawan.
“Apa yang saya lihat, kita tidak dapat mencatat kemenangan disebabkan sentuhan penyudah tak dapat dilaksanakan dengan lebih teliti ataupun keputusan dalam kawasan lawan tidak dilakukan dengan baik.
“Manakala, dalam kotak D, posisi tubuh pemain kita yang tak mencukupi dan kemahuan untuk menang bola 50-50 menyebabkan pihak lawan dapat melakukan jaringan.
“Namun, secara keseluruhan, kita kena perbaiki dua tiga perkara dan salah satunya kecergasan fizikal. Apapun, selepas ini kita akan menyambung latihan dan semoga di masa depan kita akan dapat kejayaan,” kata Arul.
Dalam pada itu, Arul berharap peminat hoki negara terus memberi sokongan padu agar pemain negara dapat menempuhi fasa sukar tersebut.