SEGAMAT – Tiada kejadian pecah rumah, kecurian kenderaan atau kehilangan ternakan dilaporkan berlaku sepanjang musim banjir gelombang pertama dan kedua bermula 27 Disember sehingga semalam di Segamat.
Menurut Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, setakat ini tiada laporan diterima daripada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh berkenaan.
“Anggota polis sudah diarahkan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan yag dikenal pasti sebagai rumah mangsa banjir. Ini termasuk pemantauan di darat dan sungai oleh anggota Unit Bermotosikal (URB), kereta peronda (MPV) dan bot.
“Sepanjang musim banjir kali ini, tiada kes lemas dilaporkan membabitkan penunggang motosikal atau kenderaan lain ketika melalui kawasan dinaiki air.
“Pihak polis memberi jaminan kepada penduduk bahawa kediaman mereka selamat dan meminta berpindah segera sekiranya kediaman dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Badak di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, penduduk juga diingatkan supaya lebih berjaga-jaga dengan gelombang banjir ketiga dan tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
“Pihak polis menyarankan mangsa banjir bersiap siaga setiap kali hujan tanpa henti lebih dua hari dan cakna akan laporan ramalan cuaca yang dikeluakan Jabatan Meteorologi. – KOSMO! ONLINE