KOTA BHARU – Polis Kelantan sedang giat mengesan suspek yang merempuh seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas semasa operasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuala Krai di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu suspek telah berjaya dikesan dan ia berada di Pasir Puteh.
Menurutnya, bagaimanapun, tangkapan terhadap suspek sedang giat dijalankan ketika ini.
“Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk menangkap suspek. Jadi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu supaya tampil membantu pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Rendah Polis dan penerima surat penghargaan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 353 dan 279 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang anggota penguat kuasa JPJ Kelantan nyaris maut akibat dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dipandu warga asing ketika cuba melarikan diri dari SJR di Jalan Kuala Krai, di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, anggota tersebut telah dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE