KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) akan memanfaatkan kenaikan tarif air yang bermula 1 Februari depan untuk menyelesaikan masalah paip bocor dan meningkatkan kualiti bekalan air kepada pengguna.
Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, kedua-dua usaha itu merupakan langkah awal dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kita berdepan dengan masalah kebocoran paip yang banyak di Kelantan. Dengan kenaikan tarif air ini kita dapat mempercepatkan lagi kerja-kerja tersebut (membaiki paip bocor).
“Pada masa, AKSB juga boleh menggunakan hasil kutipan kenaikan tarif tersebut untuk menaik taraf loji-loji rawatan air yang sedia ada di negeri ini. Apabila kerja-kerja naik taraf dilaksanakan, maka kualiti air yang akan dibekalkan kepada pengguna akan menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media-AKSB di Hotel The Grand Renai di sini malam tadi.
Izani memberitahu, AKSB kini sedang dalam proses melantik kontraktor luar yang mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah kebocoran paip dalam masa singkat.
Katanya, kerja-kerja pembaikian paip yang lebih cepat juga dapat mengurangkan kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) lebih 50 peratus sebelum ini.
“Isu paip bocor dan naik taraf loji antara dua perkara yang diberikan keutamaan oleh pihak AKSB.
“Kualiti air bermula di loji. Oleh itu, AKSB akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf loji kerana di situ bermulanya kualiti air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE