KUALA LUMPUR – Jaguh Asia Tenggara, Thailand makin mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 apabila berjaya mengikat Oman tanpa jaringan pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Abdullah Bin Khalifa, sebentar tadi.
Selain mengekalkan rekod tanpa kalah, skuad Gajah Perang kini muncul satu-satunya pasukan yang kekal tanpa bolos sekaligus mengurangkan tekanan buat anak buah Masatada Ishii untuk layak sekurang-kurangnya selaku naib juara kumpulan.
Seperti kedudukan ranking dunia, Oman nyata menjadi pasukan lebih baik apabila merekodkan penguasaan di kedua-dua babak namun skuad Gajang Perang dilihat memiliki idea lebih menarik setiap kali mengatur serangan.
Sepanjang permainan, Pansa Hemviboon menjadi antara pemain paling menyerlah buat Thailand yang dilihat mampu membaca serangan Oman dan turut melakukan beberapa halangan penting bagi mematahkan gerakan lawan.
Seawal minit ke-16, Thailand sepatutnya mampu berada di depan menerusi Elias Dolah yang berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain lawan namun tandukan jarak dekat dilakukannya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini.
Bersambung babak kedua, Oman hanya memerlukan 10 minit untuk menguji benteng pertahanan lawan sebaliknya penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai turut cemerlang melakukan halangan percubaan Salaah Al Yahyaei.
Seterusnya, kedua-dua pasukan saling mengintai peluang untuk memburu gol kemenangan namun usaha diatur gagal membuahkan sebarang hasil.
Selepas ini, Thailand bakal berdepan ujian sebenar apabila akan buat perhitungan dengan pasukan pilihan Kumpulan F, Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE