KUALA PILAH – Seorang anggota polis maut ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer dua, Jalan Melang-Kuala Pilah, berhampiran persimpangan lampu isyarat HTAN, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Lans Koperal Muhammad Hamidi Fikri Mohd Safry, 23, anggota Balai Polis Melang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah sedang menjalankan tugas Task Force Op Covid 19 ketika kemalangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, arwah merupakan seorang anggota yang bertanggungjawab dan komited dengan penugasan yang dilakukan.
“Malah arwah mempunyai mutu disiplin yang baik dan berintegriti. Arwah yang masih bujang juga aktif dalam sukan sepak takraw.
“Arwah memulakan perkhidmatannya di Pulapol Air Hitam pada tahun 2016 dan bermula 2017, arwah berkhidmat di Balai Polis Melang,” katanya ketika dihubungi, dekat sini, tadi.
Amran berkata, arwah terbabit dalam kemalangan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan motosikal jenis Yamaha 125z yang ditunggangi arwah.
“Siasatan awal mendapati pemandu MPV dari Terachi menghala ke HTAN. Apabila sampai di tempat kejadian, semasa berada di lampu isyarat HTAN, pemandu telah memberikan laluan kepada sebuah ambulan di belakangnya dengan terus membelok ke kanan menghala ke persimpangan masuk HTAN.
“Mangsa yang sedang bergerak terus di laluan bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV berkenaan.
Amran berkata, akibat daripada perlanggaran berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman di bahagian perut serta dada dan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan HTAN.
Menurutnya, pemandu MPV berusia penghujung 40an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Arwahyarham Muhammad Hamidi bakal dikebumikan di Bachok Kelantan. -K! ONLINE