fbpx

Datuk ‘jerung dadah’ Sabah didakwa di Kota Kinabalu esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Anggota sindiket dadah terbesar di Sabah termasuk dalang utamanya seorang ahli perniagaan dan penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk, akan dituduh esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan terhadap sindiket itu sudah selesai.

“Insya-Allah, semua akan dituduh esok (Isnin) di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya kepada Kosmo!

Terdahulu, media melaporkan kertas siasatan berhubung kes penahanan sindiket terbesar dadah di Sabah sedang dilengkapkan dan akan dituduh dalam masa terdekat ini.

Selain itu, proses mengesan aset-aset lain yang dimiliki suspek juga masih berjalan selain beberapa akaun sudah dibekukan.

Untuk rekod, polis dilapor telah membekukan 22 akaun bank membabitkan nilai RM420,000, selain menyita 18 kenderaan bernilai RM6.6 juta kebanyakannya kenderaan mewah, wang tunai RM35,000, barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000.

26 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Dalam serbuan serbuan pukul 2.45 pagi pada 25 Disember lalu di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu, polis menahan 10 lelaki termasuk dalang utama sindiket berusia 40 tahun yang bergelar Datuk.

Siasatan awal mendapati, sindiket memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah SOSMA.

Dalam perkembangan sama, polis menahan seorang pegawai agensi penguat kuasa berusia 43 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Suspek bertugas di Lembah Klang itu ditahan 29 Disember lalu, menjadikan keseluruhan 11 ditahan berkaitan sindiket itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI