BRENTFORD – Penggempur sensasi Brentford, Ivan Toney tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan bahawa sentuhannya masih belum berkarat apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 awal pagi semalam.
Brentford berjaya memanfaatkan aksi di laman sendiri ketika menentang Nottingham Forest awal pagi semalam apabila mencatat kemenangan 3-2 sekali gus menamatkan badi kekalahan dalam lima perlawanan sebelum ini.
Toney yang turun buat kali pertama selepas menamatkan tempoh penggantungan lapan bulan memberikan tonik buat pasukan itu untuk menyamakan kedudukan selepas Danilo terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Forest.
Ben Mee kemudian meletakkan Brentford di hadapan sebelum Chris Wood menyamakan kedudukan dan Neil Maupay muncul wira The Bees apabila meledak gol kemenangan pasukan kendalian Thomas Frank itu.
“Ia sangat bermakna, sekian lama saya menantikannya. Saya sangat teruja untuk kembali menjaringkan gol dan membantu pasukan ini melakar kemenangan.
“Ketika saya meninggalkan rumah untuk menyertai perlawanan, saya yakin mampu menjaringkan gol dan saya gembira mampu melakukannya,” kata Toney.
Frank memberikan tugas kapten pasukan kepada Toney pada aksi berkenaan dan beliau mengakui kehadirannya sangat penting untuk pasukan selepas meledak 20 gol sepanjang musim lalu.
“Dia adalah pemain penting dalam perlawanan seperti ini. Dia tidak terperangkap dengan tekanan dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI