fbpx

Tuah miliki nama unik Queen Sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Queen bersama ibunya yang banyak memberi semangat dan inspirasi kepada kejayaannya.

TIDAK sekadar dianugerahkan wajah cantik, gadis ini pernah menuai perhatian ramai apabila dipanggil ‘sayang’ ketika penyampaian skrol di pentas konvokesyen.

Kisah tersebut menjadi tular dalam media sosial terutama TikTok apabila dia diumumkan sebagai pelajar terbaik fakulti, sekali gus menerima tepukan gemuruh hadirin.

Aura ‘beauty with brain’ menjadikan gadis ini menerima banyak pujian dalam kalangan netizen, selain menjadi inspirasi dan contoh kepada pelajar lain.

Gadis dengan nama unik, Nurqueen Sayang Dinnie Wirakarnain berkata, sejak namanya menjadi perhatian pada majlis konvokesyen Ogos lalu, ia membuka banyak peluang baharu.

“Alhamdulillah, selepas saya tular dengan nama unik pada hujung tahun lalu, ramai orang mula mengenali diri ini.

“Selain karier utama sebagai jurutera perisian, saya juga terima pelbagai tawaran kerja dan job review sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Perjalanan saya setakat ini penuh dengan pencapaian dan peluang.

“Saya berterima kasih atas sokongan yang diterima dan berharap untuk terus memberikan sumbangan kepada semua,” katanya.

Berkongsi bersama iGen, gadis berusia 24 tahun itu berkata, sejak videonya menerima anugerah graduan terbaik Ijazah Sarjana Muda Sains, Fakulti Sains Komputer dan

Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tular, dia menerima pelbagai undangan termasuk berkaitan motivasi.

Queen banyak mendapat peluang melakukan job review di dalam media sosial.

Mesra disapa Queen dalam kalangan orang terdekat, dia pernah diundang untuk ke satu program televisyen yang memberi peluang kepadanya berkongsi kisah inspirasi sebagai graduan kelas pertama.

“Saya juga pernah mendapat tawaran memberi ceramah motivasi dan berkongsi pengalaman di sebuah universiti,” ujarnya.

Untuk makluman, Queen dilahirkan di Pusat Perubatan Queen di Nottingham, United Kingdom sewaktu arwah bapanya menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sana.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, anak ketiga daripada enam beradik itu telah berjaya mencapai beberapa pencapaian penting, sekali gus dianggap sebagai kemajuan dirinya.

“Pertama, saya terus maju dalam kerjaya sebagai eksekutif kejuruteraan perisian, menunjukkan kecekalan dan dedikasi dalam bidang yang sangat kompetitif.

“Selain itu, saya kini sedang meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam Sains Komputer di UiTM.

“Ini mencerminkan komitmen saya terhadap pembelajaran berterusan dan hasrat untuk mendalami pengetahuan serta kemahiran dalam teknologi maklumat,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini masih ramai yang bertanyakan kepadanya bagaimana menjadi graduan terbaik dan sentiasa positif dalam hidup.

“Mereka sering bertanya bagaimana untuk menjadi graduan terbaik. Dalam interaksi ini, saya sering memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada mereka.

“Saya percaya, memberi motivasi kepada orang lain adalah sebahagian perkara penting dalam perjalanan hidup saya.

“Saya juga berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi bagi menunjukkan bahawa kejayaan tidak datang tanpa usaha dan pengorbanan,” katanya yang turut menekankan keseimbangan dalam pelajaran, kerja dan kehidupan peribadi.

Gadis yang sering memuat naik pelbagai kandungan di media sosial dan meminati pelakon lelaki Korea Selatan, Park Seo Joon itu pastinya mempunyai rancangan tersendiri dalam menempuhi hidup pada tahun ini.

“Pada tahun ini, saya merancang beberapa misi dan objektif yang akan membimbing perjalanan saya ke depan iaitu mencapai kemajuan dalam kerjaya.

“Saya berhasrat untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang kejuruteraan perisian.

“Saya juga bertekad untuk menamatkan pengajian sarjana dengan keputusan cemerlang.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang dalam karier saya,” katanya yang memasang cita-cita bergelar ahli perniagaan khususnya dalam bidang makanan dan produk kecantikan kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI