ALOR SETAR – Dua individu yang sedang menaiki motosikal terselamat daripada mengalami kecederaan serius apabila ditimpa sebatang pokok yang tumbang di Kampung Derang, dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II, Bakar Saad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.31 pagi.
Menurutnya, individu terlibat merupakan seorang lelaki dan seorang wanita yang kedua-duanya berusia 30-an.
“Setibanya di lokasi, kami dapati terdapat dua mangsa terperangkap di bawah pokok yang tumbang.
“Bagi mengeluarkan mangsa, kami terpaksa menggunakan peralatan khas. Sebaik dikeluarkan, mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi tersebut disertai enam anggota dengan turut mendapat bantuan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – KOSMO! ONLINE