fbpx

Lebih 12,000 jemaah hadir, solat subuh terpaksa dilaksana dua kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar yang dimuat naik memaparkan kehadiran jemaah solat subuh melebihi 12,000 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, semalam.

PETALING JAYA – Gara-gara menerima kehadiran lebih 12,000 jemaah, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru terpaksa melaksanakan solat subuh sebanyak dua kali, pagi semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak masjid berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook bersama beberapa keping gambar yang dimuat naik ketika program Semarak Subuh Johor itu berlangsung.

Katanya, ini merupakan kali pertama solat subuh dilaksana dua sesi kerana terlalu ramai jemaah yang hadir sejak penubuhan masjid berkenaann.

“Pada pagi ini, dianggarkan lebih 12,000 jemaah solat subuh yang hadir dalam program #semaraksubuhjohor di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn.

“Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada jemaah yang hadir, penyumbang-penyumbang dan sahabat-sahabat pempengaruh yang menjadi antara pencetus bagi program ini.

“Mudah-mudahan, segala usaha kita diberkati Allah. Semoga kita semua istiqamah menunaikan solat berjemaah di masjid,” katanya.

Kelihatan di dalam beberapa keping gambar yang dikongsikan, para jemaah terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa menunaikan solat di luar pekarangan masjid.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani dan Exco Agama Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

Untuk makluman, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn siap dibina pada 2015 dan dibuka secara rasmi pada 2016.

Terdahulu, kerajaan negeri Johor melancarkan Program Semarak Subuh di setiap masjid dan surau bermula 5 Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata inisiatif itu melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.

Program Semarak Subuh mula mendapat perhatian orang ramai apabila selebriti dan juga pempengaruh, Alif Satar mula menggerakkan ‘GengSubuhMacamJumaat’ sejak akhir tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI