SEGAMAT – Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor bakal bersemuka dengan Abang Soyaaa dan mengambil maklum berkenaan video di sosial media TikTok Abang Soyaaa yang tular pada 18 Januari 2024 lalu, berkaitan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Dalam video berdurasi 5 minit 4 saat tersebut, pemilik akaun Abang Soyaaa menyelar tindakan pihak UiTM yang menamatkan kontrak perniagaannya di institusi pendidikan tempatan itu tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.
Menurut kenyataan rasmi Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Johor, pihak pengurusan dan unit yang terlibat sedang dalam proses menyelesaikan isu berkenaan.
“Kita akan berjumpa dengan pihak tersebut dalam masa terdekat. Ia bagi menyelesaikan isu serta memperbetulkan keadaan yang tidak jelas yang telah menimbulkan salah faham.
“Pihak UiTM Cawangan Johor merasa kesal dengan apa yang terjadi dan berharap segala spekulasi yang tidak tepat oleh pelbagai pihak dapat segera dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Terdahulu video tular dari Abang Soyaaa menjadi viral dan pihak UiTM Kampus Segamat, Cawangan Johor menerima pelbagai kritikan dari warga maya. – KOSMO! ONLINE