fbpx

Sindiket guna taktik kedai ‘tinted’ lombong bitcoin tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang warganegara China yang ditahan kerana dikesan melombong bitcoin secara haram di ibu negara, semalam. - Foto IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Modus operandi digunakan satu sindiket didalangi warga China, kononnya menjalankan perniagaan ‘tinted’ kenderaan terbongkar apabila dikesan menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

Taktik kotor itu berjaya dikesan Jabatan Imigresen (JIM) berdasarkan aduan dan risikan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya selama satu bulan sebelum serbuan dilaksanakan di ibu negara, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebuah premis lot perniagaan diserbu dan pihaknya menahan dua lelaki warga China berusia 28 dan 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis serta juruteknik membaik pulih mesin bitcoin.

“Semasa serbuan dijalankan, kedua-dua warganegara asing itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Dokumen perjalanan asal dipercayai disimpan oleh pihak ejen.

“Susulan itu, pasukan operasi merampas wang tunai berjumlah RM12,600, 30 unit mesin bitcoin, dua unit mesin cooler bitcoin, dua unit CPU komputer, satu unit komputer riba dan dua set peralatan Testing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Jelasnya, sindiket turut menggunakan papan tanda perniagaan ‘tinted’ kenderaan bagi mengelakkan aktiviti tersebut dihidu pihak berkuasa.

“Sasaran sindiket adalah kepada warganegara China dan penduduk tempatan. Sindiket juga menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis mesin bitcoin untuk pasaran tempatan.

“Bayaran bagi perkhidmatan servis itu dianggarkan antara RM100 hingga RM200 bagi setiap mesin,” katanya.

Menurutnya lagi, sindiket telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan mampu menjana pendapatan sekitar RM100,000 sebulan.

“Kedua-dua warganegara asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI