PETALING JAYA – Pengasas Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tours berbesar hati untuk menaja sepenuhnya perbelanjaan penyampai radio, Tyzo menunaikan umrah, sekali gus ‘merawat’ hatinya yang sedang luka di Tanah Suci Mekah.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Jay Ibrahim menerusi komen yang ditinggalkan dalam Instagram.
“Siapa boleh hubungi Tyzo? Saya nak taja pakej umrah untuk rawat jiwanya di depan Kaabah bersama Jay Ibrahim Al Islam,” tulisnya.
Jay Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia terpanggil untuk menaja pakej menunaikan umrah kepada Tyzo selepas mengikuti isu yang dilalui Tyzo selepas ditamatkan kontrak bersama stesen radio, Suria FM atas dakwaan tidak lagi berminat untuk bersama stesen tersebut.
“Saya terpanggil untuk taja Tyzo menunaikan umrah, sekali gus merawat duka laranya di hadapan Kaabah.
“Semoga apa sahaja kesulitan yang dihadapainya, dipermudahkan oleh Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain ketika dihubungi memberitahu, ada menerima tawaran tersebut, namun enggan berkongsi perkara itu dengan terperinci.
Bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata itu bersyukur dan terharu dengan tawaran tersebut yang dianggap sebagai ‘hadiah’ tidak terhingga.
“Betul, saya ada dihubungi (Jay Ibrahim). Tapi saya tidak boleh kongsikan lebih lanjut tentang tawaran tersebut.
“Apa-apa pun saya sangat gembira dan bersyukur dengan peluang yang diberikan. Alhamdulillah, saya sangat gembira dan menganggap ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya.
Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Tyzo yang mengendalikan segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahirah memberitahu, kontraknya sebagai penyampai radio ditamatkan dan menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penganiayaan.
Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan rasa kecewa apabila tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.
Dia turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar selepas meraih anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular tahun lalu.
Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM. – KOSMO! ONLINE