PUTRAJAYA – Tindakan pantas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan empat cubaan pengedaran bir seludup di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Operasi pada 24 November itu berjaya merampas 17,525 liter bir pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM110,000 dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM150,000.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan selain menyita tiga kenderaan bernilai keseluruhan RM150,000.
Beliau berkata, kes pertama membabitkan serbuan ke atas sebuah van mencurigakan di tepi jalan di kawasan Seri Kembangan dengan operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan menemui 4,800 tin bir yang disembunyikan di belakang van dengan anggaran berat 2,400 liter bernilai RM10,000 beserta cukai dianggarkan sebanyak RM67,000.
“Bagi kes kedua pula membabitkan serbuan ke atas lori satu tan di kawasan Balakong kira-kira pukul 3 petang.
“Hasil pemeriksaan menemui 1,920 botol bir dianggarkan seberat 768 liter bernilai RM13,000,” katanya pada sidang akhbar hari di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.
Abdul Latif berkata, kes ketiga membabitkan serbuan ke atas sebuah lori di kawasan berdekatan Balakong kira-kira pukul 3.30 petang dan pemeriksaan menemui 3,528 botol bir bernilai RM8,000.
Beliau berkata, kes keempat pula membabitkan rampasan terbesar apabila 27,000 tin bir berjaya dirampas dari sebuah stor di Balakong kira-kira pukul 5 petang.
Menurutnya, rampasan di stor berkenaan membabitkan 13,079 liter bir yang dianggarkan bernilai RM79,000 dengan duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM346,000.
“Kesemua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana memiliki atau menyimpan barangan larangan dan memiliki barangan duti eksais yang belum dibayar.
“Bagi kesalahan memiliki atau menyimpan barangan larangan, Seksyen 135(1)(d) memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun.
“Bagi kesalahan memiliki barangan duti eksais yang belum dibayar, Seksyen 74(1)(a) memperuntukkan jumlah denda dan penjara yang sama dengan Seksyen 135(1)(d),” katanya. -K! ONLINE