KUALA LUMPUR – Eskalator bakal dibina di Batu Caves sebagai alternatif kepada 272 anak tangga yang perlu dinaiki oleh penganut agama Hindu selain pelawat untuk sampai ke gua kuil Sri Subramaniam yang turut menjadi tarikan pelancong.
Pengerusi Hindu Batu Caves, Tan Sri R. Nadarajah berkata, pembinaan eskalator tersebut adalah satu daripada dua projek yang akan dimulakan selepas sambutan Thaipusam nanti.
Katanya, selain itu, turut dibina ialah dewan serbaguna yang kesemuanya menelan belanja kira-kira RM35 juta.
“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan akan membantu kerana ini akan membolehkan golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang tidak dapat menaiki tangga, untuk sampai ke kuil utama,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Ia turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada hantaran Facebook semalam memaklumkan, kementerian itu dengan kerjasama agensi di bawahnya akan menjalankan Program Kesuma Madani di Batu Caves sempena sambutan Thaipusam yang akan berlangsung Khamis depan.
“Program Kesuma Madani merupakan program turun padang KSM bertujuan mencapai, berkhidmat serta menyantuni para pekerja dan masyarakat secara amnya.
“Pelbagai aktiviti akan disediakan di bawah program ini termasuk penyertaan 200 sukarelawan Wira Kesuma yang akan turun bertugas membantu pengurusan logistik orang ramai terutamanya menghulurkan bantuan kepada warga emas, kanak-kanak dan OKU.
“Satu ruang rehat percuma dan selesa akan diwujudkan di khemah utama Kesuma Madani yang boleh memuatkan 500 orang,” katanya.
Pengunjung boleh melawat reruai khidmat pekerja yang akan menawarkan maklumat dan pendaftaran kursus-kursus Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) secara percuma kepada belia masyarakat India, yang merupakan kerjasama antara Niosh dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan saringan kesihatan percuma dan mendaftar untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang merupakan antara strategi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meningkatkan Suri Rumah Berinsuran dari 200,000 orang kepada 500,000 orang. – KOSMO! ONLINE