JAGUH perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengakui prestasi yang ditampilkan pada siri Jelajah BWF pada tahun ini lebih baik berbanding apa yang dipamerkan pada musim lepas.
Sebagai rekod, prestasi Zii Jia sebelum ini dikritik hebat apabila tewas seawal pusingan pertama kejohanan pembuka tirai musim ini ketika aksi Terbuka Malaysia pada minggu lalu.
Namun, pemain ranking No. 10 dunia itu mempamerkan kebangkitan apabila mara ke pusingan suku akhir Terbuka India sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Jepun, Kodai Naraoka kelmarin.
Kata Zii jia, banyak lagi perkara positif yang boleh diambil dengan harapan kini adalah untuk bekerja keras dalam usaha mencapai kejayaan pada musim ini.
“Saya berjaya lolos ke peringkat suku akhir pada kejohanan kedua yang disertai pada musim ini dan ia adalah perkara positif.
“Jika dilihat rekod musim lepas, saya hanya dapat melangkah jauh di peringkat separuh akhir pada All England dan ia adalah kejohanan kelima yang saya sertai.
“Justeru, saya mahu terus bekerja keras dan tidak akan mengalah pada setiap kejohana yang bakal disertai nanti,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai kekalahan 13-21, 21-9, 21-16 yang dialami, Zii Jia mengakui sukar untuk memecah strategi Naraoka yang dilihat agak ampuh terutama pada set kedua dan penentuan.
“Saya cuba berikan yang terbaik, tetapi bukan mudah untuk menewaskan Naraoka. Mungkin saya juga terlalu gopoh di atas gelanggang terutama pada rubber-set sekali gus memberi ruang buatnya melakar kemenangan,” katanya.
Pada siri Jelajah BWF musim lepas, Zii Jia hanya mara ke perlawanan akhir sebanyak dua kali dengan menjuarai Terbuka Arctic sebelum terpaksa berpuas hati dengan status naib juara Terbuka Denmark.