PETALING JAYA – Enggan babak berkemban dalam drama Gemersik Berbisik dijadikan isu, pelakon Zarina Zainoordin menegaskan masih menutup bahagian bahu agar tidak mendatangkan rasa kurang selesa terhadap penonton.
Katanya, orang ramai perlu menonton dahulu naskah yang disiarkan menerusi Unifi TV Original itu sebelum membuat sebarang andaian berhubung keperluan adegan watak gadis desa digalasnya.
“Sebenarnya bukan berkemban seperti yang dibayangkan ramai, sebaliknya saya menutup bahagian atas dengan kain batik, sekali gus tak nampak seksi pun.
“Babak itu pula untuk menunjukkan Ipong iaitu karakter yang saya bawakan berada di sungai, tetapi selebihnya alur cerita mistik ini perlu ditonton dulu untuk dapat gambaran sebenar.
“Pada mulanya saya pun teragak-agak untuk memenuhi permintaan pengarah, namun selepas diberi penerangan mengenai karakter serta bukan berkemban sepenuhnya, saya bersetuju,” katanya ketika ditemui selepas tayangan khas Gemersik Berbisik, baru-baru ini.
Menurut aktres merangkap penyanyi itu, pada usia 40 tahun dia enggan mencetuskan sebarang kontroversi apatah lagi membabitkan kerjaya seni.
“Hakikatnya saya bukan seorang yang berani berdepan kecaman dan enggan membaca sebarang komen negatif kerana semua itu boleh menjejaskan emosi.
“Jadi, tidak mungkin saya berani menanggung risiko membawakan peranan atau adegan tidak perlu yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa khalayak.
“Saya sendiri kurang selesa untuk tampil berlebih-lebihan dalam sesuatu naskhah membuatkan setiap kali diajukan tawaran, saya memperincikan dulu skrip serta watak dan perwatakan,” ujarnya.
Menganggap drama bersiri lapan episod arahan Amor Rizan itu sarat pengajaran, akui Zarina, peluang bergandingan dengan ramai pelakon hebat membuatkannya rindu suasana set penggambaran.
“Bagi kisah terbitan NS Star Studio ini, kami berkampung di pinggir hutan simpan di Dengkil dan keadaan di situ sememangnya mencabar tambahan pula latar naskhah ini mempunyai elemen menyeramkan.
“Namun, syukur sepanjang sebulan penggambaran semuanya berlangsung dengan sempurna biarpun berdepan beberapa kesulitan serta gangguan kecil. Rindu momen itu,” kongsinya.
Gemersik Berbisik yang turut membariskan Elisya Sandha, Ezzrin Loy, Yasmin Hani, Zarul Iman, Fazlina Ahmad Daud dan Naszeli Ngasri sudahpun menemui penonton bermula 19 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE