fbpx

‘Masih mahu bersama Suria FM, hanya minta naik gaji RM500’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYZO akhirnya mendedahkan perkara sebenar yang disimpan selama ini.

PETALING JAYA – “Saya cuma minta naik gaji sebanyak RM500 sahaja.”

Demikian pendedahan bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo sekali gus menafikan dakwaan dia tidak lagi berminat untuk terus berkhidmat di stesen radio tersebut.

Katanya, dakwaan tidak berminat itu ibarat mahu menutup perkara sebenar yang enggan didedahkan kepada umum.

“Mereka buat kesimpulan saya tidak berminat hanya kerana saya tidak maklumkan awal mengenai keputusan berkaitan kontrak kepada pihak pengurusan.

“Namun, kali ini berbeza pula sedangkan kontrak Sharifah Shahirah diperbaharui enam bulan sekali tetapi mengapa permintaan saya pula dipertikai?

“Saya mengaku ada minta kenaikan gaji sebanyak RM500 namun pihak pengurusan menolak tetapi saya tetap tandatangani kontrak pada September lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, dia juga terkilan apabila wujud dakwaan dirinya besar kepala hanya kerana minta gaji dinaikkan.

“Saya terkilan mereka boleh mengambil tiga penyampai baharu tetapi tidak mampu untuk membayar kenaikan gaji yang saya minta.

“Jika saya besar kepala atau berlagak diva, saya pasti akan menolak untuk tandatangan kontrak walaupun syarikat sudi naikkan gaji.

“DJ Lin kata syarikat ada keuntungan tetapi gaji kami masih begitu malah dipotong lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, dia juga menegaskan sudi untuk berdamai dengan pihak stesen radio dan sedia kembali berkhidmat sekiranya masih diberikan peluang.

“Saya terbuka berdamai dan sentiasa mahu kembali bergelar penyampai radio di Suria FM.

“Saya juga tidak ada masalah dengan stesen radio sebaliknya isu ini antara saya, DJ Lin dan JJ.

“Sebenarnya saya sudah tahu kontrak akan ditamatkan pada 4 Januari lalu tetapi saya hanya berdiam diri sehingga 12 Januari iaitu Jumaat lalu. Rasa sangat sakit sebab terlalu lama menahan diri,” ujarnya.

Hari ini, pihak pengurusan Suria FM memaklumkan kontrak Tyzo ditamatkan kerana dia tidak lagi berminat dengan stesen radio tersebut.

Manakala DJ Lin pula menafikan wujud unsur iri hati terhadap Tyzo seperti yang didakwa ramai sebelum ini.

Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Tyzo yang mengendalikan segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahirah memberitahu kontraknya sebagai penyampai radio ditamatkan dan menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penganiayaan.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan rasa kecewa apabila tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.

Dia turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar selepas meraih anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular tahun lalu.

Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI