PETALING JAYA – Pengerusi Kumpulan Star Media, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Rauf tidak menolak kemungkinan terdapat cubaan untuk menjatuhkan Pengurus Besar dan penyampai Suria FM iaitu DJ Lin atas tuduhan jahat yang dilemparkan kepadanya.
Ujar Amin, rentetan isu membabitkan penamatan kontrak bekas penyampai Suria FM, Tyzo pada 12 Januari lalu, DJ Lin atau nama lengkapnya Roslinda Abdul Majid telah dikecam sehingga digesa meletakkan jawatannya di stesen radio tersebut.
“Saya percaya, apa yang berlaku ini bertujuan untuk menjatuhkan DJ Lin.
“Pada pendapat saya, mangsa yang sebenarnya adalah DJ Lin. Kredibilitinya menurun dan menjunam.
“Tapi dia adalah head (ketua) kepada Suria FM. Itu adalah tugas dia. Siapa ‘serang’ DJ Lin, sama seperti serang Suria FM,” jelasnya kepada Kosmo! Online.
Atas gesaan netizen, Amin berpandangan tiada sebab DJ Lin harus dipecat daripada suria FM seperti yang diminta netizen kerana berpuas hati dengan prestasi yang disifatkan sangat bagus.
“Saya berpuas hati DJ Lin sebagai Pengurus Besar dan penyampai di Suria FM. Tiada sebab Suria harus memecat DJ Lin sebab prestasinya sangat bagus.
“Pun begitu, dia adalah pemimpin satu pasukan. Tanpa pasukan, DJ Lin tidak boleh berjaya tanpa pasukannya. Justeru saya mahu mengiktiraf pasukan suria FM dan bangga dengan mereka,” jelasnya.
Bercakap tentang kenyataan yang keluar dari mulut Tyzo tentang ‘penganiayaan’ oleh DJ Lin seperti video yang tular dalam media sosial, Amin berpandangan perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk meraih simpati dan menyalahkan Suria FM.
“Tyzo buat siaran langsung serta merakam video untuk tontonan umum. Pada masa itu, DJ Lin naik ke studio untuk ucapkan kata-kata penghargaan.
“Namun, apa yang berlaku ialah Tyzo mengatakan terima kasih atas penganiayaan ini terhadap DJ Lin.
“Tyzo ada katakan dia masih mahu kerja dan tak reda dengan pemergian ini. Siapa yang melihat dan mendengar akan bersimpati dengannya dan menyalahkan Suria FM, ini satu perkara yang tak boleh dielakkan,” ujar Amin dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amin berharap isu yang timbul itu dapat ditamatkan dan tidak akan dibangkitkan lagi.
Pada masa sama, Amin turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau komen berbentuk fitnah dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya harap perkara ini dapat ditamatkan dan tidak akan dibangkitkan lagi.
“Jika ada mana-mana pihak yang buat kenyataan atau komen berupa fitnah, kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang,” jelasnya.
Terdahulu, tular mengenai penamatan kontrak Tyzo sebagai penyampai Suria FM sehingga ramai mula mempertikaikan keputusan stesen radio berkenaan.
Bukan itu sahaja, timbul pula dakwaan mengatakan Tyzo telah dianiayai DJ Lin apabila kontraknya ditamatkan pada 12 Januari lalu. – KOSMO ONLINE