fbpx

Gagal ke MRSM, sekolah harian pun bagus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Pada tahun ini, lebih 104,000 pelajar memohon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi mengisi kekosongan yang tidak sampai pun 10 peratus daripada jumlah tersebut iaitu hanya 8,679 tempat di seluruh negara.

Kekosongan tempat yang terhad itu menjadi rebutan semua orang, daripada golongan B40 sehingga T20. Sebab itu, ada ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja, asalkan anak mereka diterima memasuki MRSM.

Ada yang sanggup jadi miskin dengan menipu pendapatan supaya mereka tergolong dalam kategori B40 yang akan lebih diberi keutamaan bagi mengisi kekosongan itu.

Malah ada juga ibu bapa T20 yang mahu menghantar anak-anak ke MRSM dengan alasan supaya mereka dapat belajar hidup susah bersama anak-anak keluarga miskin.

Masih banyak cara lain untuk mengajar anak hidup susah, bukannya dengan mengambil tempat golongan miskin dengan cara yang salah.

Malam kelmarin, keputusan permohonan MRSM telah diumumkan. Ada tiga status sahaja dan tiada kotak rayuan seperti tahun lalu.

Bagi permohonan yang berjaya, tahniah kepada semua pelajar terpilih dan juga ibu bapa atas kejayaan anak masing-masing.

Status kedua pula iaitu sekiranya tidak menerima makluman tawaran melalui khidmat pesanan ringkas atau semakan dalam sistem sebelum 20 Mei 2024, permohonan anda tidak berjaya.

Calon-calon ini berada dalam kumpulan simpanan. Lazimnya, 25 hingga 30 peratus calon akan menolak dengan pelbagai alasan. Jika ada rezeki nanti boleh dapat tawaran kemasukan kedua.

Status ketiga ialah permohonan anda tidak berjaya. Ia bermaksud anda gagal dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM.

Bagi mereka yang gagal, ia bukan satu pengakhiran, sebaliknya masih boleh mencuba untuk kemasukan ke tingkatan empat MRSM. Selain MRSM, banyak lagi institusi lain yang menawarkan pendidikan terbaik.

Anda boleh memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) atau sekolah agama menengah berprestasi tinggi di negeri masing-masing sekiranya lulus ujian khas.

Jika gagal juga, jangan terus bersedih, sekolah harian biasa pun bagus. Banyak sekolah harian yang berjaya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga memperoleh semua A.

Di sekolah-sekolah harian, ramai guru hebat yang boleh mendidik anak-anak menjadi pelajar cemerlang. Pokok pangkalnya terletak pada diri pelajar itu sendiri sama ada mahu terus gagal atau berjaya dalam pelajaran.

Ibu bapa juga perlu memberi sokongan kuat kepada anak-anak untuk terus belajar dan mencipta kejayaan. Jangan hanya dengan satu kegagalan memasuki MRSM, musnah segala harapan kepada anak tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI