AMPANG JAYA – Guru lelaki ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap empat pelajar termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.
Menurut sumber, suspek mengajar remaja terbabit sejak tahun lalu dan perbuatan itu dipercayai dilakukan di dalam kawasan sekolah dan di beberapa tempat di daerah ini.
“Lelaki berkenaan juga dikatakan ada menghantar pesanan WhatsApp berbaur lucah kepada mangsa.
“Bagimanapun perbuatan itu terbongkar selepas mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin dan semalam ke atas suspek,” katanya.
Difahamkan, sebanyak empat laporan polis dilakukan membabitkan pelajar lelaki berusia 16 hingga 17 tahun terhadap guru lelaki berusia 28 tahun itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis membabitkan empat mangsa berusia 16 hingga 17 tahun.
“Pelajar ini ada yang juga menduduki SPM di mana suspek adalah seorang guru di sekolah terbabit yang sudah ditahan,” katanya.
Hussein berkata, suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.-KOSMO! ONLINE.