NEW DELHI – Hampir 300 askar Myanmar menyeberang sempadan ke India untuk melarikan diri daripada kemaraan pemberontak bersenjata yang memerangi junta tentera, kata seorang pegawai pasukan separa tentera India kepada AFP hari ini.
Pertempuran menggegarkan beberapa kawasan berhampiran sempadan Myanmar-India sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan Yangon pada November 2023 sekali gus mengakhiri gencatan senjata yang dipersetujui selepas junta tentera merampas kuasa pada 2021.
Pada minggu ini, AA berjaya menguasai bandar utama, Paletwa dan menawan enam pangkalan Tatmadaw (tentera Myanmar) di sepanjang sempadan Myanmar dan negeri Mizoram di India.
Seorang pegawai pasukan separa tentera Assam Rifles berkata, seramai 276 askar Myanmar yang membawa senjata api dan peluru tiba di kampung Bondukbangsora.
“Kami memberi perlindungan kepada mereka di kem kami,” katanya sambil menambah, pasukan askar yang tiba ‘diberikan semua bantuan yang diperlukan’.
Pegawai itu menambah, unitnya sedang mengumpul data biometrik setiap askar berkenaan dan telah meminta kelulusan daripada kementerian pertahanan di New Delhi untuk mengembalikan mereka ke Myanmar.
Beratus-ratus askar Myanmar lain telah menyeberang masuk ke India untuk melarikan diri dari pertempuran sejak gencatan senjata berakhir pada November 2023, demikian menurut laporan media tempatan.
Sementara itu, dua pesawat tentera Myanmar tiba ibu negeri Mizoram, Aizawl untuk menghantar pulang pasukan askar yang berundur. – AFP