fbpx

Kadar bantuan Sara bermula 22 Januari naik kepada RM1,200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kadar bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada isi rumah yang akan dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari ini dinaikkan kepada RM1,200 berbanding RM600 tahun lalu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media berkata, kategori pogram Sara yang sebelum ini hanya merangkumi golongan miskin tegar turut diperluaskan kepada golongan miskin.

Selain itu, penggunaan kredit program Sara yang sebelum ini hanya untuk makanan asas diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Bagaimanapun, kadar bantuan Sara untuk golongan bujang kekal RM600.

“Dengan penambahbaikan tersebut, program Sara tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023 iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

“Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas. Penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar.

“Kelayakan untuk menerima bantuan Sara adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan kementerian dan agensi kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian Kewangan menjelaskan, pelaksanaan Sara akan bermula 22 Januari ini bagi penerima di Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 19 Februari 2024.

Menurut Kementerian Kewangan, bagi penerima program Sara di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bantuan Sara akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan rangkaian rakan runcit iaitu pasar raya dan kedai yang mengambil bahagian dalam program Sara di seluruh negara diperluaskan kepada 515 buah berbanding 424 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI