ABIDJAN, Ivory Coast – Jurulatih Mesir, Rui Vitoria tetap berkeyakinan tinggi pasukannya mampu menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) biarpun tanpa kelibat bintang Liverpool, Mohamed Salah dalam baki kejohanan kali ini.
Salah, 31, mengalami kecederaan kaki kiri dan terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama ketika The Pharaohs seri 2-2 dengan Ghana pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Felix Houphouet Boigny awal pagi semalam.
“Saya mengharapkan ia bukan kecederaan serius kerana masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian. Salah merupakan antara pemain terbaik di dunia, jadi sudah tentu kami mahu dia terus beraksi.
“Cumanya saya mahu tegaskan tiada mana-mana pasukan menang tanpa melalui perlawanan yang sukar. Ia sudah terbukti hari ini terutamanya di separuh masa kedua,” kata Vitoria.
Ketiadaan Salah membolehkan Ghana membuka tirai jaringan menerusi bintang West Ham United, Mohammed Kudus sebelum Omar Marmoush mengikat kedudukan buat Mesir.
Kudus sekali lagi membuktikan ketajamannya dengan gol kedua buat Black Stars pada minit ke-71, tetapi cuma bertahan tiga minit sebelum Mostafa Mohamed mengikat kedudukan memastikan Mesir meraih satu mata.
Sementara itu, penyerang yang juga kapten Equatorial Guinea, Emilio Nsue muncul pemain pertama meledak hatrik di pentas AFCON dalam tempoh 15 tahun sejak 2008 ketika menewaskan Guinea-Bissau 4-2 di Stadium Ebimpe Olympic malam kelmarin.
Nsue yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan sayap, turut memahat nama sebagai penjaring tertua kejohanan pada usia 34 tahun 110 hari, memadam rekod lama dipegang Ima Andriatsima dari Madagascar. – AGENSI