PETALING JAYA – Penyanyi dan penyampai radio itu Haiza mengakui terharu apabila dimaklumkan menjadi antara penyanyi kesukaan Almahrum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah.
Pemilik nama lengkap Rohaizah Nordin, 43, berkata, perkara yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuatkan hatinya berbunga-bunga sehingga ke hari ini.
“Walaupun momen itu telah beberapa hari berlalu, sebenarnya saya masih berasa sayu dan tak sangka apabila baginda menyapa dan menyatakan saya antara penyanyi ‘favorite’ almarhum ayahanda baginda.
“Sebagai penyanyi tentulah saya terharu apabila Yang di-Pertuan Agong masih ingat saya selepas lama saya tidak mengadakan persembahan untuk majlis rasmi terutama di Pahang.
“Dulu saya bersama penghibur senior termasuk Datuk Yusni Hamid, Ziana Zain, Allahyarham Datuk Nassier Wahab dan beberapa lagi penyanyi lain selalu diundang menghiburkan tetamu bagi acara rasmi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut penyanyi dangdut itu, sehingga kini dia masih menyimpan buku yang menyimpan senarai lagu kegemaran Almahrum Sultan Ahmad Shah sebagai kenangan paling berharga.
“Saya berpeluang mengadakan persembahan di hadapan baginda dan Sultanah Pahang bermula pada 2004 sehingga 2013 dan apabila selepas itu saya mula aktif sebagai penyampai radio.
“Sememangnya peluang tersebut memberikan pelbagai pengalaman kerana dari situ saya belajar banyak lagu malar segar terutama berbahasa Inggeris yang saya bawakan sampai sekarang.
“Katalog lagu kesukaan baginda sangat besar dan saya mempunyai sebuah buku untuk saya tulis senarai dendangan termasuk seleksi baharu yang perlu saya pelajari.
“Antara kegemaran Almarhum adalah nyanyian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Allahyarham Datin Rafeah Buang, Broery Marantika dan ramai lagi,” ujarnya.
Kelmarin, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Sri Pentas.
Pasangan Diraja itu turut melawat
konti stesen radio di bawah rangkaian Media Prima Berhad termasuk Kool FM seteruskan meluangkan masa bersama penyampai seperti Haiza dan Muaz.
“Almarhum ayahanda saya punya ‘favorite’ artis,” kata Al-Sultan Abdullah pada pertemuan tersebut. – KOSMO! ONLINE