PUTRAJAYA – Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian ko-kurikulum.
Itu adalah garis panduan dan peraturan pemakaian murid baharu bagi sesi persekolahan 2024/2025 yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM, sebentar tadi dan surat pekeliling serta makluman lanjut mengenai arahan pemakaian itu akan dikeluarkan kemudian.
Sebelum ini, ibu bapa di seluruh negara tertanya-tanya mengenai peraturan pakaian seragam murid sedangkan sesi persekolahan baharu bakal bermula pada awal Mac depan.
Ketetapan dan garis panduan itu penting memandangkan ibu bapa perlu membuat persediaan dan keperluan kewangan di kala Ramadan juga bakal kunjung tiba pada bulan yang sama.
KPM sebelum ini sudah memberi kelonggaran pemakaian kepada murid pada Oktober 2021 sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka selepas hampir dua tahun ditutup akibat wabak Covid-19.
Malah, sepanjang tahun lalu, kelonggaran sama diteruskan dan rata-rata murid serta ibu bapa mahu kelonggaran itu diteruskan bagi sesi persekolahan baharu nanti. – KOSMO! ONLINE